Logistik dan lonjakan ekonomi sebagai
proses integrasi sosial negara
Kita sering mendengar akan peranan
logistik dalam memacu aktiviti ekonomi dan seterusnya menganjak dan melonjakkan
status sesuatu program atau projek itu. Kita dapat melihat contoh yang amat
jelas dari pengalaman yang dapat ditimba daripada peranan logistik di
Semenanjung Malaysia dan betapa ianya mengimpak akan ekonomi tempatan dan
dipersekitarannya.
Dari awal lagi dengan terlaksanaannya
projek seperti lebuhraya utara-selatan (PLUS) dan setelah itu diikuti pula oleh
beberapa lebuhraya lain yang menghubung beberapa pekan dan bandar seperti NKVE,
Malaysia Expressway, Karak Highway, Shah Alam Express dan banyak lagi, kita
dapat melihat impak yang besar secara langsung kepada pengguna lebuhraya
tersebut dan juga penambahan aktiviti kepada ekonomi tempatan dan juga tidak
kurang besarnya impak kepada kawasan persekitaran yang berkait dengan penjanaan
aktiviti lebuhraya tersebut.
Begitu juga dengan projek lain
seperti sistem laluan keretapi pantas dari Singapura ke Kuala Kuala Lumpur dan
yang terbarunya ialah projek East Coast Rail Link (ECRL). Sebelum ini juga kita
dapat melihat betapa projek mega perhubungan dalam Kuala Lumpur dan
persekitarannya seperti mono rail, LRT, MRT dan Komuter telah menukar corak
perjalanan dan aktiviti ekonomi mereka yang menggunakannya dan juga ekonomi persekitaran
laluan sistem tersebut.
Lebuhraya
Sebagai contoh Lebuhraya PLUS telah
memberikan laluan lebuhraya yang terpanjang di Semenanjung menghubungi negeri
Perlis di utara tanah air ke Johor diarah selatan dan juga ke pantai timur
menghubungi negeri Pahang, Terengganu dan juga Kelantan. Impak secara langsung
ialah untuk membawa pengguna lebuhraya ini ke destinasi dengan begitu cepat
sekali dan dalam masa yang sama oleh kerana pembuatan jalan raya menurut
piawaian keselamatan yang tinggi daripada jalan raya biasa, maka kita boleh
menganggap yang perjalanan itu akan dapat dibuat dengan lebih selamat lagi.
Sebelum ini perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh akan memakan masa lebih 6 jam
akan tetapi dengan lebuhraya ini yang mengurangkan kesesakan jalanraya terutama
sekali dikawasan persimpangan, maka dengan lebuhraya ini perjalanan dapat
diteruskan tanpa mengalami kesesakan dijalanraya utama, kecuali apabila
pengguna akan keluar dari lebuhraya untuk masuk ke sesebuah tempat itu dengan
menggunakan jalan raya biasa.
Disini ia berkemungkinan untuk
mengalamai kesesakan lalulintas seperti biasanya. Ini tidak akan berlaku selagi
pengguna masih berada dilebuhraya kerana perjalanan ini tidak boleh terhindar
dengan penungguan disepanjang lebuhraya tersebut. Jalan susur keluar juga
merupakan satu laluan keluar yang selesa dan hanya apabila bertemu dengan
jalanraya untuk laluan ke kawasan tempatan yang hendak dituju maka mungkin
terdapat penungguan kerana memberi laluan kepada kereta yang menggunakan
jalanraya tersebut dari arah lain.
Kini perjalanan dari Kuala Lumpur ke
Ipoh hanya memakan kurang dari 4 jam dan jika melalui keretapi ETS
perjalanannya jauh lebih pantas lagi ia itu dalam masa 2 jam sahaja.
Begitulah betapa peranan
infrastruktur logistik berupaya menukar senario perjalanan seseorang itu dan
memberi makna baru kepada tujuan perjalanan dimana aktiviti yang hendak dibuat
kelak di destinasi yang dituju, kini boleh diselesaikan dalam masa yang singkat
dan tidak memerlukan lagi seseorang itu perlu menginap dan bermalam disesuatu
tempat itu. Masa oleh itu tidak terbuang dan banyak aktiviti yang boleh
dijalankan dalam masa tersebut yang dulunya terbuang akan tetapi masakini
banyak lagi aktiviti sampingan yang dapat dilaksanakan.
Logistik telah menaikkan taraf aktiviti
perekonomian seseorang pengguna itu dan juga memperbanyakkan aktiviti ekonomi
di sesuatu tempat yang terlibat itu. Ini pada keseluruhannya telah mengimpak
dan menganjak ekonomi tempatan serta melonjakkan ekonomi negara.
Sistem Rel Pantas (High Speed Rail)
Sistem ini yang lebih dikenali
sebagai HSR telah pun ditandatangani oleh kedua negara terlibat iaitu Singapura
dan Malaysia untuk mengujudkan sistem perjalanan melalui rel dengan kelajuan
yang tinggi yang memboleh perjalanan daripada Singapura ke Kuala Lumpur dalam
masa dua jam sahaja berbanding dengan perjalanan melalui jalan raya yang
memakan lebih 4 jam dan tidak termasuk karenah yang dialami di balai
pemeriksaan tambak johor dan link kedua.
Perhubungan antara dua negara akan
meningkatkan lagi banyak aktiviti individu mahupun korporat dan akan
melonjakkan aktiviti perekonomian dikedua negara. Sistem perhubungan seperti
ini kini adalah perkara biasa untuk mempertingkat aktiviti usahasama dua
negara.
Dalam masa yang sama juga telah
dilapurkan bahawa perlaksanaan HSR ini telah mengundang keinginan 150 syarikat
tempatan dan antarabangsa untuk menyertai penyediaan teknologi ini dan juga
trak rel (rail track) untuk digunakan oleh teknologi HSR seperti ini. Ini akan
menjana peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan memberikan pendedahan
kepada para profesional yang terlibat dalam perlaksanaan teknologi ini seperti
jurutera dan pakar IT. Sama seperti yang kita alami apabila mengujudkan kan
sistem rel LRT dan monorel dimana kepakaran profesional kita telah mendapat
perhatian dunia dan pihak Arab Saudi telah menggunakan kepakaran orang Malaysia
dalam mengujudkan sistem rel pengangkutan disana seperti untuk pengangkutan
jemaah haji.
East Coast Rail Link (ECRL)
Sistem rel ini yang telah dimaklumkan
akan menelan belanja RM55 bilion adalah projek logistik yang terbesar yang
pernah diselenggarakan di negara kita. Projek ini dijangka akan mengimpak
perekonomian negeri negeri di pantai timur seperti Pahang, Terengganu dan juga
Kelantan. Ini benar benar akan melonjakkan ekonomi tempatan dan persekitarannya
mahupun buat individu ataupun peningkatan besar kepada ekonomi tempatan. Ini
juga akan menganjak paradigma minda kepada perekonomian yang terlibat kerana
inilah anjakan kepada ekonomi yang membawa makna besar kepada pertumbuhan
ekonomi negara dan dalam masa yang sama akan membawa negeri negeri pantai timur
ini ke persada kebangsaan dan juga antarabangsa dan secara langsung berpeluang
dan berupaya untuk menyertai langsung perniagaan yang terujud dengan adanya
projek ini.
Selain dari pinjamatan masa
perjalanan ini, perkara yang penting dalam pengujudan sistem perhubungan ini
ialah untuk membawa keluar dari kepompom tradisi akan cara pemikiran penduduk
tempatan dan mula melihat akan sesuatu dari kacamata nasional dan juga
antarabangsa. Selama ini negeri negeri yang terlibat hanya memainkan peranan
disebalik tabir sahaja dan tidak secara langsung. Ekonomi persekitaran akan
teranjak maka dengan ini amat rugi penduduk dan syarikat tempatan jika tidak
mengambil peluang yang tersedia ini.
Projek mega selainnya
Selain daripada projek mega yang
tersenarai diatas, kita juga melihat beberapa projek maha besar dalam industri
logistik seperti pembinaan dan pembesaran pelabuhan pelabuhan di Pelabuhan
Kelang, dengan dua pelabuhannya Northport dan juga West Port serta PelabuhanTanjung Pelepas (PTP).
Terdapat juga beberapa projek pelabuhan yang lain diperbesarkan seperti di
Pulau Pinang dan juga Lumut. Pelabuhan Kuantan juga telahpun mengambil langkah
untuk memperbesarkan pelabuhannya dengan kerjasama negara China untuk
mengujudkan pelabuhan alternatif kepada Pelabuhan Kelang dan juga PTP yang terletak di Selat
Melaka. Pelabuhan Kuantan pula terletak di pantai timur menghadapi Laut China
Selatan dan akan berpeluang mencipta corak perniagaan yang baru. Sama ada
projek ini akan membawa impak kepada perkembangan pelabuhan di Sabah terutama
sekali Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) adalah sesuatu yang perlu
difikirkan oleh negeri Sabah yang juga berkeinginan untuk menjadikan hab
pelabuhan di rantau ini.
Logistik dan lonjakan ekonomi bagi
negeri Sabah
Jika kita tinjau projek dan program
ekonomi yang terdapat di Semenanjung, kita dapat melihat bahawa dan kita akan
terharu dengan apa yang berlaku di Sabah. Senarai projek yang diperkatakan
diatas nampaknya tidak berlaku disini. Hanya projek lebuhraya Pan Borneo (PBH)
sahaja yang layak dikelasifikasikan sebagai projek yang berdaya untuk menganjak
perekonomian negeri Sabah. Sebagai negeri yang merdeka dalam Malaysia, Sabah
perlu ada beberapa projek yang dapat menukar corak perhubungan, mempelbagai
alternatif pengangkutan dan projek yang mengimpak kepada perekonomian secara
individu mahupun korporat.
Projek Lebuhraya Pan Borneo (PBH)
Projek PBH merupakan satu satunya
projek mega yang dapat kita banggakan kerana buat pertama kalinya kita akan
dapat melihat impak secara langsung projek ini kepada perekonomian negeri Sabah
terutama sekali dikawasan kawasan dimana PBH akan diselenggarakan. Pelonjakan
ekonomi amat senang dilihat dimana ekonomi luar bandar terutama di kawasan
laluan selatan negeri Sabah yang akan menghubungi Keningau dan Tawau kini
terbuka kepada perekonomian yang lebih pesat. Pusat eko-pelancungan seperti
Lembah Maliau akan lebih senang di hubungi dengan laluan lebuhraya yang
mempercepatkan perjalanan dan juga laluan yang akan menjadi lebih selamat
digunakan.
Projek Pembesaran Pelabuhan Kontena
Teluk Sapangar (SBCP)
Projek ini yang telah diluluskan oleh
kerajaan Pusat bernilai kira kira RM1.1 bilion adalah dijangkakan untuk
memainkan peranan besar dalam membangkitkan ekonomi negeri Sabah terutama
sekali dalam sektor Pembuatan (manufacturing) apabila ianya akan dijadikan hab
persinggahan dirantau Asia ini berlandaskan ianya terletak dikawasan perairan
yang strategik di Laut China Selatan. Ianya strategik dari beberapa sudut yakni
pertamanya dalam konteks pusat persinggahan dalam BIMP-EAGA , kedua sebagai
pusat persinggahan untuk aktiviti perkapalan untuk negara di timur Asean dan
ketiga yang hebat kerana ia merupakan laluan perkapalan di lauan pelayaran Laut
China Selatan yang merupakan laluan perkapalan yang tersibuk di dunia.
Disini SBCP boleh menggantikan
pelabuhan Kelang sebagai pusat pemunggahan bagi kontena untuk Asia Timur. Ada
beberapa cara yang SBCP boleh memainkan peranan ini tertakluk kepada
keupayaannya untuk mengendali sebanyak mana kontena yang boleh. Adalah dijangka
projek pembesaran SBCP ini akan siap menjelang tahun 2021 dan dijangka akan
dapat mengendali 1.2 juta kontena (teus) setahun. Pengambilalihan peranan
sebagai hab persinggahan daripada pelabuhan Kelang ini akan tertakluk kepada
jumlah kontena dalam setahun yang dapat dikendali oleh SBCP oleh kerana pada
keseluruhannya jumlah kontena untuk kedestinasi Timur Asia termasuk timur jauh
seperti China, Taiwan, Hongkong, Korea dan Jepun adalah melebihi 3 juta kontena
teus oleh itu tidak dapat dikendalikan oleh SBCP dalam masa yang singkat ini.
Maka dengan ini SBCP boleh menjadi hab persinggahan kepada kontena yang
datangnya dari negara timur ASEAN sahaja sebagai permulaan sebelum dapat
mengendalikan keseluruhan kontena untuk rantau Asia.
Impak kepada industri pembuatan di
Sabah
Alasan mengapa ekspot daripada sektor
pembuatan ini tidak dapat bersaing dengan harga pasaran luar negara ialah atas
sebab kos penghantaran yang tinggi. Dengan adanya nanti hab persinggahan ini
yang dikendalikan di SBCP maka banyak kapal dagang yang akan singgah ke SBCP
untuk tujuan mengangkut kontena yang bertaraf persinggahan atau pun yang
dipanggil 'transhipment goods' dan juga kontena yang memangnya terjana oleh
industri pembuatan di Sabah. Ini akan memberikan status ekspot yang berdaya
saing dipasaran luar negara. Cara sebegini tidak akan melanggar peraturan dasar
kabotaj kerana selama ini pun dasar kabotaj tidak menghalang akan penghantaran
kontena antara pelabuhan di Sabah dengan mana jua pelabuhan luar negara.
Sabah masih ketinggalan
Apabila dibandingkan dengan aktiviti
mega yang terlaksanakan di Semenanjung, Sabah nampak jauh ketinggalan dari
aspek penjanaan aktiviti ekonomi demi memacu kemajuan dipelbagai sektor di
negeri ini. Walaupun boleh kita katakan bahawa oleh kerana negeri Sabah tidak
sesibuk di Semenanjung maka memadailah dengan apa yang kita ada namun demi
kemajuan ekonomi dan sosial negeri ini, Sabah perlu mengujudkan pelbagai
program dan projek dan tidak hanya bergantung kepada dua projek ini sahaja.
Yang amat ketara sekali ialah kita tidak ada projek logistik alternatif kepada
mod perjalanan darat. Di darat kita hanya mempunyai bas sebagai mod
pengangkutan awam selain dari perkhidmatan teksi. Sebaiknya menurut trend yang
ada di semenanjung mahupun di lain lain negara maju, setiap bandarraya perlu
ada sistem pengangkutan yang menggunakan rel atau trak seperti LRT dan
sebagainya. Nampak kosnya amat tinggi dengan penggunaan yang dikira tidak
mendatangkan pulangan yang baik, ini bukanlah persoalannya. Kalau sistem ECRL
di Semenanjung yang kita juga tidak mengetahui pulangannya melalui penggunaannya,
Sabah juga perlu menyediakan sesuatu untuk masa hadapan walaupun dikira mahal
dan tidak berbaloi buat masa ini. Perbandingan seperti ini perlu dibuat agar
Sabah tidak ketinggalan jauh dari aspek pelaksanaan projek mega bagi maksud
membantu lonjakan ekonomi negeri Sabah sendiri.
Apa yang penting bagi Sabah ialah
mengujudkan projek contoh seperti LRT walaupun liputannya tidak lah luas hanya
setakat untuk menghubungi kawasan yang dikira kritikal untuk membantu
pertumbuhan ekonomi kawasan tersebut. Pembesaran projek tersebut boleh kita
buat dengan cara berperingkat. Jika kita tidak menyediakan tapak permulaan,
maka adalah amat sukar untuk projek ini diwujudkan kelak dan pada harga yang
begitu tinggi pula. Saya ulangi, yang penting wujudkan sesuatu seiringan dengan
objektif yang digunapakai di semenanjung. Ertinya kita seiringan dengan apa
yang dilaksanakan di Semenanjung. Mereka ada LRT, kita juga perlu projek contoh
LRT. Kalau mereka ada projek mega pelabuhan, kita juga ada. Kalau mereka ada projek
ECRL kenapa pula kita tidak boleh menyediakan projek yang sama untuk membuka
eknomi luar bandar. Mungkin ECRL di Sabah kita boleh ikuti laluan PBH agar
pembenaannya tidak menyukarkan dengan adanya lebuhraya yang boleh mengangkut
peralatan keperluan bagi pembinaan ECRM kita di Sabah.
Prinsip kebersamaan, terbuka dan adil
Inilah prinsip keterbukaan dan adil
untuk sama sama membangun negara Malaysia. Selagi kita tidak mengambil sikap
ini selagi itu jurang ekonomi akan semakin meluas antara semenanjung dan Sabah
serta Sarawak. Program yang sama perlu kita adakan juga di Sabah, cuma liputan,
keluasan serta nilainya mungkin berbeza menurut keadaan tempatan. Penulis faham
bahawa ramai yang masih menganggap bahawa sikap, konsep dan prinsip yang
diutarakan diatas nampak melampau, akan tetapi hasrat ini amat suci jika
dilihat dari aspek pembangunan negara yang bersepadu. Ini boelh dierti katakan
sebagai pembangunan yang seimbang antara semenanjung dan juga Sabah dan
Sarawak. Model ini bakal membawa kita kepada satu era kegemilangan proses
integrasi sosial negara kita yang tercinta ini.
"Bersama kearah TN50"
Penulisan
ini adalah sumbangan ‘The Chartered Institute of Logistics & Transport
Malaysia, Sabah’ untuk masyarakat. Maklumbalas boleh dihantar kepada ramliamir@cilt-m.com.my
(Published in the New Sabah Times on 13th August 2017)
No comments:
Post a Comment